Friday, 1 January 2016

Syurga Ku

Ibu Ayah .. :(

anak mana yang sanggup melihat kesusahan orang tuanya ?? anak mana ?? di saat aku jauh, dalam ingatan ku hanya teringat bagaimana kehidupan ibu bapa dan adik-adikku di rumah ? sedang aku bergembira dengan makanan, kawan-kawan, jalan-jalan ?? keluarga ku ?? Allahu .. aku sedih .. bila aku boleh hidup senang untuk membanggakan ibu ayah aku ?? adik-adikku ?? Ya Allah .. aku mohin agar kau berikan aku sebuah kejayaan di mana aku boleh merubah nasib keluarga ku..

Aku teringin sekali bagi hadiah mahal-mahal untuk ibu ayah, adik-adik... macam orang lain tu .. sambut birthday kat luar .. aku tak mampu .. aku teringin ya Allah .. teringin untuk bagi kesenangan dan kegembiraan untuk keluargaku.. ya Allah .. kau dengarlah doaku .. :(

Hari-hari aku memikirkan, apa yang mereka makan ? sedih .. bila tengah panas kita merungut sedangkan rezeki ayah ku berpunca daripada kerja bawah terik matahari .. ibuku penat lelah masak kat dewan makan asrama .. dari pagi sampai petang .. kerja aku ?? hanya belajar . kenapa malas ? Allah .. kau tetapkan hati aku untuk terus berusaha dalam menggapai sebuah kejayaan . ya .. kejayaan buat ibu ayah adik-adik. 

Angah ... along tak sanggup sebenarnya tengok awak kerja waktu cuti semata-mata nak cari duit buat masuk sekolah . kak ngah, walau macam mana layanan along kat awak .. awak kene tahu .. along sayang adik-adik along .. ya Allah .. kau murahkanlah rezeki keluarga aku ya Allah . keluarkan lah keluarga ku dari bebanan kesusahan .. bebanan hutang .. Allah .. aku mohon .. along janji .. along berjaya .. along bagi je semua untuk adik-adik along .. along mintak maaf .. 

Kakak .. adik .. along janji nanti along senang .. along belanja korang makan sedap-sedap ye . hehe along janji .. along janji .. sebenarnya .. kalau along dapat duit tu .. along nak korang semua datang kat along .. termasuk ibu ayah .. along nak bawak adik-adik along dengan ibu ayah jalan-jalan sini. jalan Langkawi sama-sama .. hehe along teringin sangat .. Allah . aku tahu engkau dengar permintaan aku .. kau makbulkan lah doaku .. tiada yang lain .. cuma untuk ibu ayah dan adik-adik aku ya Allah .. :')

Along yang tak guna .. 

Thursday, 10 December 2015

Perbahasan di Mahkamah

Pada tarikh 8 Disember  2015 Choi Yue Yue telah didakwa mencuri lembu di Kampung Berkat.  Kebetulan pada jam 11.50 malam waktu kejadian, Minah Robe yang baru pulang dari bandar melalui kawasan pokok di mana lembu tersebut ditambat. Dalam waktu yang sama, Minah Robe terserempak dengan Choi Yue Yue di tempat kejadian. Choi Yue Yue telah dituduh mencuri lembu tersebut.

Di Mahkamah ..

Choi Yue Yue diwakili oleh peguam bela nya memberi keterangan kepada ahli dewan bahawa dia tidak mencuri lembu tersebut. Hal ini kerana pada waktu kejadian, Choi Yue Yue yang baru pulang dari kedai untuk membeli barang dapur turut melalui jalan yang sama untuk pulang ke rumah iaitu jalan yang berhampiran dengan pokok yang menambat lembu tersebut. Pada malam kejadian, Choi terdengar bunyi yang agak pelik datangnya dari arah pokok tersebut. Maka Choi membuat keputusan untuk memeriksa dan pergi melihat apa sebenarnya yang terjadi.

Pada ketika itu juga, Minah Robe ternampak Choi dan dia telah memberitahu orang kampung tentang kejadian itu. Oleh sebab itu, Choi telah dituduh sebagai suspek yang mencuri lembu tersebut memandangkan sebelum hari kejadian, telah berlaku kecurian haiwan ternakan milik Minah Robe. Maka itu, penduduk kampung percaya bahawa Choi yang mencuri lembu dan haiwan ternakan tersebut. Pihak pendakwa raya yang mewakili Minah Robe menegaskan isi yang dikemukakan oleh Minag Robe tetapi dibangkang oleh Peguam bela. Berlaku ketegangan semasa perbicaraan sedang dijalankan di mahkamah bagi mempertahankan anak buah masing-masing.

Peguam bela yang mewakili Choi tetap bertegas dan mempertahankan anak buahnya iaitu Choi. Siasatan dijalankan dalam masa 3 hari untuk mencari bukti yang kukuh untuk mempertahankan Choi bahawa Choi tidak bersalah dalam kejadian ini. Apabila siasatan dijalankan, Pegawai Penyiasatan telah menjumpai bahan bukti bahawa kesan cap jari pada tali penambat lembu tersebut bukanlah cap jari kepunyaan Choi. Bukti yang paling kukuh adalah pertemuan sehelai bulu kaki di tempat kejadian yang juga bukan kepunyaan Choi.

Akhirnya, Hakim Mahkamah membuat keputusan dan menegaskan bahawa Choi dan Peguam bela nya memenangi kes ini.


Perbicaraan selesai....

Sunday, 6 December 2015

Rejab F.I (Lakonan Semula)

Lakonan Semula
Rejab F.I  dilahirkan di Kg.Bongok, Padang Lati, Perlis pada 12 September 1941. Beliau merupakan seorang karyawan negara dan telah menghasilkan 45 buah novel da 90 cerita rakyat, 433 puisi dan 184 buah cerpen.
SCENE 1
            Mengikut ceita emak saudara beliau sewaktu Jepun datang ke Malaya,mereka sekeluarga dan penduduk kampung disarankan untuk berlindung di dalam gua tetapi dihalang oleh Tuan Haji Salleh.
v  Latar Tempat
ü  Di kampung
ü  Di dalam gua

SCENE 2
            Selepas tamat sekolah darjah 7, Rejab F.I diterima bekerja sebagai seorang guru.
v  Latar Tempat
ü  Bendang

SCENE 3
            Rejab F.I dituduh menggunakan harta awam iaitu mesin taip untuk kepentingan diri sendiri. Rejab berasa sedih dituduh sebegitu tetapi Cikgu Ali Haji Ahmad datang ke rumah Rejab dan memujuknya agar menggunakan mesin taip itu dan menghiraukan hinaan orang lain.
v  Latar Tempat
ü  Di sekolah
ü  Rumah Rejab

Scene 4
            Rejab pergi ke kedai buku Indra Store dan dia terserempak dengan rakannya. Rakannya bercerita tentang kisah sebuah keluarga yang baru sahaja kematian bapa tetapi si anak sibuk bertengkar mengenai pembahagian harta dan dari situlah permulaan bagi Rejab untuk berkarya ke arah yang lebih tinggi iaitu novel kerana mendapat ilham daripada kisah tersebut.
v  Latar Tempat

ü  Kedai Buku Indra Store


Saturday, 5 December 2015

Sajak Alam Sekitar

Sajak tentang Alam Sekitar
Disuatu pagi yang hening,
Tatkala fajar menyinsingkan cahayanya..
hembusan lembut bayu pagi didesa..
mengukir sebuah senyuman ketenangan..
kicauan burung berterbangan ke sana ke mari,
memecah kesunyian pagi..
jauh bezanya dengan bumi kota..
ketika ini...
baru aku sedar akan keindahan desa,.
Tidak ternilai khazanah alamnya..

ironinya..
ketika kita sedang leka mengejar pembangunan..
ketika negara sedang rakus mengejar permodenan..
kita lupa dan alpa!
pencemaran air yang menghapus kehidupan akuatik,
pencemaran udara yang meragut kesegaran oksigen..
telah membawa 1001 masalah..
kepada seisi bumi..

kita tidak sedar..
bumi sedang sakit ketika ini..
kepada siapa yang harus dipersalahkan..
ketika berlakunya bencana alam..
pencemaran sungai..
masalah suhu pemanasan global,
berfaktorkan penipisan global!
berpuncakan sikap manusia..!

bangkitlah rakyat malaysia..
masih belum terlambat untuk kita..
memelihara khazanah alam!
berkonsepkan bumi hijau..
melindungi lapisan ozon..
dan kehidupan flora dan fauna..
masih dapat dikekalkan,
keindahan alam semesta..
kepada jenerasi akan datang.

ingatlah,
bahawa alam ini adalah sesuatu yang tidak ternilai harganya..
alam ini..
anugerah tuhan yang sangat istimewa..
keindahannya..

mencerminkan keperibadian manusia..

Rencana, Melaka

Rencana Pelancongan

Pengenalan
Sejarah Melaka bermula dengan pengasasan Kesultanan Melaka oleh Parameswara, seorang bangsawan Srivijaya dariPalembang, pada tahun antara 1400 hingga 1403. Kini Melaka merupakan sebuah tempat bersejarah yang mempunyai banyak tempat menarik dann kini menjadi tempat pelancongan di Malaysia.




Zoo Melaka merupakan salah satu tempat menarik di Melaka. Zoo Melaka terletak bersebelahan Dataran Sejarah, Ayer Keroh, Melaka. Di sini terdapat lebih dari 214 spesies haiwan boleh ditemui di Asia Tenggara dan Afrika secara semula jadi. Zoo ini dinobatkan sebagai zoo yang terbaik di negara Malaysia.  Pada mulanya Zoo Melaka ditadbir oleh Kerajaan Negeri Melaka tetapi pengurusan Zoo Melaka diambil alih oleh Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dalam tahun 1979. Zoo Melaka telah berkembang dan kini menjadi zoo kedua terbesar di Malaysia selepas Zoo Negara.  Zoo Melaka turut mengadakan malam safari setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad untuk membolehkan pengunjung melihat tabiat dan telatah haiwan sewaktu malam antara jam 8:00 - 11:30 malam.


Menara Taming Sari merupakan menara pandang setinggi 110 meter yang terletak di Bandar Hilir, Melaka iaitu bersebelahan Datara Pahlawan. Menara ini dapat berputar 360 darjah untuk para pelawat melihat panorama Bandar Melaka secara keseluruhan. Ia mampu memuatkan sehingga 66 orang dalam satu-satu masa dan dibuka mulai pukul 10 pagi hingga 10 malam dengan harga tiket dewasa RM20, kanak-kanak RM10 dan warga emas RM17 seorang. Lokasi asal menara ini adalah di tebing Sungai Melaka berhampiran Bangunan Stadthuys.




Melaka River Cruise



Alami pelayaran yang menakjubkan sejauh 9 km menyusuri Sungai Melaka selama 45 minit sambil menikmati pemandangan indah, bangunan dan rumah-rumah kedai peninggalan era Belanda, rumah-rumah tradisional Melayu dan banyak lagi pemandangan yang menarik peninggalan sejarah warisan dunia. Sungai Melaka dipenuhi dengan sejarah sejak kegemilangan empayar  Kesultanan Melayu Melaka yang berpengaruh dan berkuasa yang menarik pedagang seluruh dunia untuk datang berniaga dan berdagang dan yang mengkagumkan telah mempengaruhi Tome Pires, sejarawan Portugis untuk menamakan negeri ini sebagai ‘Venice di Timur'.

Walau bagaimanapun, Sungai Melaka kini sebahagian besarnya hanya menjadi peringatan berharga tentang masa silamnya yang gemilang dan kaya serta pembangunan masa kininya. Dan cara terbaik untuk mengetahuinya ialah dengan merasai kembara sungai untuk menjejaki sejarah dan menyaksikan keindahannya yang menarik dan mempersonakan.


Kota A Famosa merupakan peninggalan sejarah Portugis yang paling terbesar di bumi Melaka. A Famosa merupakan nama kubu yang dibina oleh orang Portugis selepas menakluk Melaka pada 1511. Sebaik sahaja mereka menawan Melaka, Portugis menggunakan buruh paksa untuk membina kubu sementara bagi menangkis serangan orang-orang Melayu, sementara mereka membina kubu utama yang digelar "A Famosa", atau secara rasminya Kubu Melaka (Fortaleza de Malaca). Kota A Famosa mengambil masa selama 5 bulan untuk di bina. Akibat suhu panas terik dan kekurangan makanan, ramai buruh paksa yang mati ketika membina kota tersebut. Bahan bagi membina kota tersebut diambil dari runtuhan masjid dan bangunan lain. Kubu yang dibina oleh kerajaan Portugis pada 1511 ini kononnya kebal menahan serangan pihak lawan yang datang dari arah laut. Namun kubu ini musnah akibat serangan bertalu-talu dari pihak Belanda tetapi bahagian depan Kubu ini masih kukuh tersergam sehingga ke hari ini.



Jonker Street
Persiaran Jonker yang terletak di Jalan Hang Jebat merupakan syurga bagi pengumpul barang-barang antik dan murah di Bandar MelakaMelaka. Di sini terletak Pekan Cina yang memaparkan seni bina Baba dan Nyonya. Artifak asli yang berumur sehingga 300 tahun yang lalu boleh dijumpai disamping barang-barang antik yang lain, setiap satu mempunyai sejarah dan misterinya yang tersendiri. Jalan ini yang dahulunya dikenali sebagai Jalan Jonker telah dikenali di seluruh dunia sebagai salah satu tempat yang terbaik untuk mencari dan membeli barang-barang antik. Pasar malamnya setiap Jumaat hingga Ahad, dengan sekitar 300 peniaga, menjadi tarikan pelancongan antarabangsa sejak dibuka pada 1990-an. Di sini juga terdapat hotel-hotel berkonsep kehidupan Baba dan Nyonya yang boleh dicuba dan makanan popular keturunan Baba dan Nyonya.

Kesimpulannya, Melaka merupakan salah satu tempat pelancongan menarik di Malaysia. Tempat ini amat sesuai bagi mereka yang ingin melancong disamping ingin mendapatkan pengatahuan lebih dalam bidang sejarah dimana melaka merupakan tempat pertama bermulanya penaklukan penjajah di Malaysia. 

Nilai Persahabatan

Nilai Persahabatan itu  berlandaskan apa ?
            Aku mempunyai sahabat. Ya, boleh dikira sahabat pada pandangan aku kerana aku terlalu sayangkan dia. Aku datang dari keluarga yang susah dan keluarga aku juga tidak ramai. Oleh sebab  itu, apabila aku mempunyai rakan, aku menganggap mereka sahabat aku. Tujuan sebenar aku adalah untuk membahagiakan diri aku sendiri. Aku inginkan kehidupan yang baik seperti rakan-rakan yang lain. Punya kereta mewah walau hanya kepunyaan orang tua mereka namun sekurang kurangnya mereka punyai semua itu sedangkan aku, tak mampu ku ungkap kerana aku sedar segalanya ketentuan ilahi. 
             Aku  tidak seperti rakan-rakan yang lain bermewah- mewah makan di cafe makan pada waktu rehat. Aku hanya mampu menikmati makanan yang biasa sahaja cukup sekadar mengalas perut agar tidak kembung dek kerana masuk angin. Malah bukan itu sahaja, kasut, baju, beg sekolah dan semua peralatan ke sekolah disediakan sempurna oleh orang tua mereka dengan jenis yang mahal dari jenama yang ternama. sedangkan aku hanya mampu menelan liur melihat kemewahan mereka. Minda ku acap kali bertanya, apakah mungkin aku juga bisa menjadi seperti mereka? dan setiap kali itu ku tundukkan wajahku, mengalir lesu air mata mengenangkan nasib diri. Ada hikmah Allah berikan semua ini kepadaku. walaupun begitu aku tetap bersyukur. biar aku miskin harta tapi kaya kasih sayang orang tua ku.
             Berbalik kepada kisah rakan  yang ku anggap sahabat ku itu. Dalila sebuah nama nan indah., persis dirnya yang cantik dan perilakunya yang tidak sombong.  Aku senang berteman  dengannya, dia teramat mesra dan tidak lokek dengan senyuman. Jika diukur dari segi paras rupa ternyata aku dan dia jauh berbeza bak kata pepatah bagai gagak dengan merak namun begitu,  aku tetap  selesa berteman dengannya. Dia menerima aku sebagai sahabatnya dengan seikhlas hati. Sejak itu, aku meletakkan seratus peratus kepercayaan terhadap Dalila. Kemana sahaja aku pergi mesti ditemani oleh Dalila. Aku bersyukur kerana mempunyai sahabat yang memahami aku. Dalila juga tidak kekok semasa aku mempelawanya ke pondok buruk milik keluarga ku, walaupun hakikatnya perasaan segan itu tetap bertandang. namun tak siapa memilih kehidupan sebegini. seringkali Dalila menyatakan kekecewaannya terhadap aku setiap kali aku menyatakan ketidakselesaan ku itu. Masih segar di ingatan baris kata ini, "Allah tidak akan menguji seseorang hambanya, andai hambanya itu tidak mampu untuk menepuhi dugaanNya itu. Setiap sesuatu yang wujud di dunia ini punya pasangannya dan mengapa diwujudNya begitu kerana untuk saling melengkapi."
            Suatu hari, semasa aku sedang leka duduk di bawah pokok berhampiran dengan rumah, ibu menghampiri aku. Ibu, seorang insan yang sangat aku hormati dan aku sayangi. Kasih sayang aku terhadap ibu dan juga ayah ku tidak sedikit pun berbelah bahagi. Tambahan pula ayahku tidak seperti orang lain yang mempunyai pekerjaan yang mampu menjamin masa depan. Ayah hanya bekerja sebagai tukang kebun di sekolah dan berpendapatan kurang daripada satu ribu. Aku tahu nilai  itu tidak mencukupi, tambahan pula ekonomi negara yang kian membimbangkan, kadar sara hidup semakin meningkat dan aku  pula perlukan pembiayaan yang tinggi untuk belajar begitu juga adik-adikku. Adik-adikku semuanya masih bersekolah. Kadang kala kesusahan keluarga  membuatkan aku tidak kuat untuk lalui semua ini, tambahan pula aku anak sulong dan merupakan harapan keluarga.
            Ibu menyapa lembut dan bertanya tentang Dalila. Aku menceritakan semuanya tentang Dalila kepada ibuku. Ibu lantas tersenyum dan menggenggam tanganku. “ Kakak, serapat mana kita dengan seseorang, sebaik mana layanan mereka terhadap kita, satu perkara yang perlu kakak ingat. Keluarga kita jauh berbeza dengan mereka. Jangan suatu hari nanti kita disisihkan hanya kerana keadaan kita. Hati manusia, sifatnya mudah berbolak-balik.” Lantas aku memandang wajah ibu dan aku menerangkan kepada ibu bahawa Dalila tidak seperti yang ibu sangkakan. Aku tahu ibu juga tahu bagaimana sikap Dalila. Ibu tersenyum dan berkata itu hanyalah pesanan dan ibu tidak bermaksud untuk berburuk sangka terhadap Dalila. Aku lega. Lega kerana aku fikir ibu tidak senang aku berkawan dengan Dalila walaupun setiap kali Dalila ke rumah aku, ibu melayan  Dalila dengan baik.
            “Baiklah kelas, hari ini kita ada rakan baru iaitu Anis. Anis, sila perkenalkan diri kamu kepada rakan-rakan kamu yang lain”. “Saya Anis dari Kuala Lumpur”. Aku teruja kerana Anis mempunyai raut wajah yang manis. Dari pandangan aku, aku tidak layak untuk berkawan dengannya tetapi aku beranikan diri untuk menegurnya. Anis menunjukkan tindak balas yang baik.  Aku senang dengannya. Lantas aku berkata, tidak semua perempuan cantik itu sombong. Lihat sendiri Dalila, langsung tidak kisah untuk berkawan denganku.
            Hari berganti hari. Aku mula mendapati perubahan tingkah laku Dalila sejak kedatangan Anis. Dalila tidak lagi mengajak aku untuk makan tengah hari bersama-sama. Kini Dalila sering keluar dengan Anis tanpa pengetahuan ku. Jauh di sudut hati ku, aku amat terasa dengan perubahan sikap Dalila. Dalila yang aku anggap sahabat baik aku yang suatu ketika dulu tidak pernah meninggalkan aku walau aku dalam kesusahan kini semakin menjauh. Pada mulanya aku tidak ambil pusing tentang semua itu kerana aku menganggap mungkin sahaja perasaan ku sendiri yang mudah berkecil hati. Namun apabila aku bersama mereka  ke kantin. Layanan yang diberikan oleh Dalila terhadap aku cukup berbeza dari sebelumnya. Aku tidak menyalahkan Anis dalam hal ini kerana Anis tidak tahu apa-apa mengenai hal ini. Apa yang membuatkan aku sedih setiap hari adalah kerana Dalila. Aku terlalu  rindukan sahabat aku itu. Kini baru aku sedar, kata-kata ibu telah menjadi nyata. benar manusia mudah berubah, pasir di pantai saja bisa berubah inikan pula hati seorang manusia yang dilahirkan tidak sempurna. Sakit untuk aku menerima hakikat perjalanan cerita sebuah persahabatan ini. Namun aku harus kuat kerana aku mula sedar, manusia sentiasa datang dan pergi dalam kehidupan ini, tiada yang kekal abadi selain Allah. Syahdu mengetuk hatiku namun aku harus kuat.
            Sedang aku memakai sarung kaki sambil leka melayani perasaan yang semakin hari semakin berkecamuk diamuk kesedihan dan rentam di hati memikirkan kehilangan seseorang yang amat aku sayangi,  selepas solat di surau sekolah, aku disapa oleh Anis. Kebetulan pada hari itu Dalila tidak hadir ke sekolah kerana demam. Anis mengajak aku ke taman sebelah sekolah selepas habis waktu persekolahan. Aku bersetuju. Tepat jam 2.30 petang aku dan Anis ke taman untuk berbincangkan sesuatu. “ Maya, akhir-akhir ini Anis nampak Maya dan Dalila tidak lagi mesra seperti mula  Anis pindah ke sini. Adakah  semua ini  berpunca daripada Anis? Anis tidak mahu disebabkan Anis, persahabatan yang kamu berdua bina bertahun lamanya hancur begitu sahaja”. Anis lantas menggenggam tanganku dan ketika itu juga air mataku jatuh menyembah bumi, terlalu lama menahan hiba, akhirnya ianya tumpah juga. Aku memberitahu Anis semua yang berlaku bukan salahnya. Pada ketika itu juga,  Anis memberitahu ideanya untuk membantu menyedarkan Dalila. Anis menyuruh aku untuk melawat Dalila di rumah tanpa  Anis pergi bersama. Tujuannya supaya Dalila sedar  bahawa nilai sebuah persahabatan itu terletak kepada keikhlasan hati seseorang bukan pangkat atau darjat atau juga peredaran masa.
             Petang itu, Anis menghantar aku kerumah Dalila kerana rumah Dalila agak jauh dari rumah aku. Tambahan pula, Anis mempunyai kereta sendiri bagi memudahkan pergerakannya. Lantas hati kecilku berkata, mungkin Dalila sebenarnya lebih senang berkawan dengan orang yang setaraf dengannya. Aku bukan tidak mahu melawat Dalila, tetapi aku bimbang kehadiranku di rumahnya akan membuatkan hati Dalila tidak senang. Namun aku benar-benar ingin melihat keadaan Dalila kerana perasaan kasih terhadap sahabatku itu tidak pernah luntur walau aku diperlakukan sedemikian.   Setibanya di rumah Dalila, Anis meletakkan keretanya jauh dari rumah Dalila supaya Dalila tidak tahu mengenai kehadirannya di rumah itu. Anis menyuruh aku masuk terlebih dahulu. Ketika itu, aku  melihat Dalila terbaring lesu di atas tilam mengahadap  kaca televisyen.
            Dalila tidak banyak bercakap tetapi aku tetap bertanyakan keadaan dirinya. Dalila juga sempat bertanyakan keberadaan Anis. Dalila memberitahu Anis langsung tidak menjenguknya di rumah walhal setiap hari Anis akan ke rumahnya untuk menyiapkan kerja rumah yang dibekalkan oleh guru. Aku memandang sayu wajah Dalila, dari kata-katanya itu jelas,dia langsung tidak menghargai aku yang datang untuk menjenguknya. Sungguh aku terasa hati. Dalila bukan lagi Dalila yang aku kenal suatu waktu dahulu.Dalila yang dahulu terlalu mesra dan baik, mudah menghargai tiap apa yang orang lakukan kepadanya dan sentiasa bermanis muka ketika bersamaku walau di saat itu dia punyai masalah. Ketika itulah, Anis masuk menunjukkan diri dengan wajah yang kesal dan jelas rengusan kurang senangnya dengan sikap dalila. 
        Sebenarnya sedari tadi Anis memerhatikan tingkah Dalila terhadapku disebalik tembok pembahagi antara dua bahagian tempat Dalila berehat dan ruang yang lainnya.  Dalila terperanjat dengan kehadiran Anis.  Anis lantas menjelaskan  kepada Dalila kondisinya sebentar tadi dan dia telah lama memerhatikan Dalila. Anis juga menyatakan bahawa dia ingin melihat sejauh mana nilai persahabatan Dalila dengan aku. Namun ternyata Dalila tidak seperti yang dia sangkakan. langsung tidak menghargai kehadiran aku dan masih membuat aku berkecil hati walaupun saat sedang sakit. Anis menasihati Dalila bahawa dalam persahabatan darjat bukan lah satu ukuran. Apa yang penting adalah keikhlasan dalam persahabatan itu sendiri. Menghargai, melengkapi dan menyayangi adalah elemen penting dalam kekukuhan sebuah persahabatan. 
                   Nilai sebuah persahabatan tidak terletak pada not Ringit, tetapi pada sekeping hati yang ikhlas. Jika kita ikhlas dalam setiap perkara , kebahagiaan pasti mengekori kita. Mengalir deras air mata Dalila ketika itu. dia mulai sedar akan kesilapannya. dia mencapai tanganku dan mengenggam erat lalu meminta maaf kepadaku, aku juga tidak mampu menahan sebak di dada. aku turut menangis dan menyatakan bahawa aku sudah lama memaafkannya. Anis yang sedari tadi memerhati turut mengesat air mata sambil tersenyum bahagia. Aku mengengam tangan Anis dan juga tangan Dalila. Inilah dua kekuatan yang aku ada selain Ibu dan ayahku. Aku bersyukur kepadamu Ya Allah.
                     Sejak itu aku, Dalila dan Anis menjadi sahabat, sentiasa ada saat suka dan duka, segalanya bersama. Malah kehidupanku semakin baik kerana ayah diterima bekerja sebagai pembantu di syarikat milik ayah Anis. Gaji yang diberikan juga cukup untuk membantu kami sekeluarga. Aku Dalila dan Anis akhirnya berjaya melanjutkan pelajaran bersama ke luar negara. Doaku cuma satu, 'andai harus aku menghadapi kehilangan lagi, tuhan jangan kau gantikan lagi kehilangan ini, kerana aku tak mahu mengantikan tempat mereka dengan sesiapa.'
                                                                     TAMAT
#PenMarker
#putikbungamawar.blogspot.com






                       

           

            

Isu Semasa, Dimana Nilai Seorang Anak ?

Pendahuluan
Ø  Warga emas kurang bernasib baik dan diabaikan oleh anak-anak yang tidak bertanggungjawab
Ø  Pengorbanan ibu bapa tidak ternilai
Ø  Ibu bapa menjaga kita bagai menatang minyak yang penuh

Faktor-faktor
Ø  Sikap manusia itu sendiri
ü  Memandang hina warga emas
ü  Anak-anak gemar menghantar ibu bapa ke rumah orang-orang tua supaya dapat meringankan beban mereka
ü  Ibu bapa bersusah-payah membesarkan anak-anak

Ø  Memandang ringan tanggungjawab terhadap orang tua
ü  Mereka tidak terfikir tentang jasa-jasa yang telah ditaburkan oleh ibu bapa mereka
ü  Anak-anak membiarkan ibu bapa tinggal berseorangan
ü  Sibuk dengan tugasan harian lalu mengabaikan tanggungjawab untuk ibu bapa

Ø  Tindakan ibu bapa itu sendiri
ü  Ibu bapa bersikap bengis dan kejam terhadap anak-anak
ü  Anak-anak memendam perasaan dan berniat untuk membalas dendam
ü  Anak-anak mengabaikan kebajikan dan kesihatan ibu bapa

Langkah-langkah mengatasi
Ø  Mengikis sifat memandang remeh orang tua yang kurang bernasib baik
ü  Membuang sifat memandang hina kepada ibu bapa
ü  Mengubah sikap dan mengamalkan sistem keluarga yang harmoni
ü  Pupuk rasa kasih sayang dalam keluarga

Ø  Anak-anak harus diberi didikan agama dan pendedahan awal tentang menghormati ibu bapa
ü  Anak-anak yang mempunyai asas agama akan rasa tanggungjawab terhadap ibu bapa itu sangat penting
ü  Terapkan pendidikan moral
ü  Boleh membentuk anak-anak yang tahu nilai yang baik terhadap ibu bapa

   
Kesimpulan
Ø  Pengabaian warga tua masih lagi di tahap yang rendah
Ø  Anak-anak perlu menghormati ibu bapa

Ø  Jangan mensia-siakan ibu bapa


Pepatah Melayu yang berbunyi “bagai kacang lupakan kulit”mungkin sesuai untuk di bincangkan bagi isu golongan warga emas yang kian terabai, kurang bernasib baik dan kebajikan golongan ini juga diabaikan oleh semua pihak. Dalam hal ini, kita sering tertanya-tanya tentang sebab-sebab golongan warga emas ini diabaikan dan sentiasa dilupakan oleh semua lapisan masyarakat. Menjaga warga tua atau ibu bapa yang sudah lanjut usia bukan masalah individu sahaja bahkan ia melibatkan semua pihak terutamanya institusi keluarga, masyarakat dan kerajaan. Pengorbanan ibu bapa tidak ternilai harganya jadi apa salah anak-anak menjaga dan menatang bagai minyak yang penuh seperti mereka menjaga anak-anak semasa kecil dulu. Lagipun dalam tuntutan agama pun ia cukup jelas menuntut kita sebagai anak harus menjaga ibu bapa lebih-lebih lagi yang berumur. Menjaga ibu bapa yang sakit ketika diambang maut dan juga menguruskan jenazah merupakan tanggungjawab yang dituntut oleh agama. Namun, hari ini ramai anak-anak yang menghantar ibu bapa mereka ke rumah kebajikan atau membiarkan sahaja mereka sendirian. Hal ini demikian kerana disebabkan oleh banyak faktor yang mempengaruhinya, justeru itu juga masalah ini harus dibendung supaya tidak menjadi lebih teruk lagi di masa akan datang.
Golongan warga emas yang terabai dan diletakkan di bawah penjagaan rumah kebajikan merupakan satu perbuatan yang tidak bermoral oleh anak-anak. Dalam hal ini, kita sering tertanya-tanya tentang sebab-sebab mengapa mereka diabaikan. Oleh itu, tentu terdapatnya  faktor tertentu yang menyumbang ke arah berlakunya masalah ini. Salah satu faktornya yang paling ketara ialah sikap manusia itu sendiri. Segelintir manusia memandang hina terhadap golongan ini, mereka menganggap warga emas tidak berguna lagi malah membebankan. Oleh itu, anak-anak lebih gemar menghantar ibu bapa mereka kerumah kebajikan. Di samping itu, masyarakat itu sendiri juga memandang serong terhadap warga emas yang kurang bernasib baik sekali gus menyisihkan mereka. Perbuatan ini dianggap tidak bermoral terutamanya anak-anak yang derhaka. Ibu bapa telah membesarkan anak-anak dengan bersusah payah namun apakah yang diperoleh oleh mereka semasa tua dan tidak bertenaga lagi? Tentunya mereka akan berasa sakit hati apabila dilayan sedemikian. Selain itu, kita haruslah faham bahawa mereka yang kurang bernasib baik sudah cukup malang dan janganlah menambahkan lagi keperitan itu. Dalam situasi ini bukankah masyarakat sepatutnya memberikan kasih sayang kepada mereka? Namun, yang berlaku dalam realiti kehidupan ini ialah masyarakat tidak ada pun rasa belas kasihan atau menunjukkan simpati bahkan menyisihkan mereka dan menjadikan mereka sebagai bahan gurauan dan cacian.
Bukan itu sahaja, anak-anak juga sering memandang ringan terhadap orang tua mereka. Mereka menganggap ibu bapa telah tua tidak berguna dan berjasa lagi. Mereka tidak terfikir tentang jasa-jasa yang telah diberikan oleh ibu bapa mereka sehingga anak-anak dapat menikmati kesenangan seperti yang dinikmati hari ini. Ingatlah, mereka amat berpengalaman dan segala pandangan, nasihat serta tunjuk ajar mereka patut dihargai dan dijadikan pedoman hidup. Selain itu, yang menyebabkan orang tua diabaikan sehingga ada anak-anak yang sanggup menghantar ibu bapa ke rumah orang tua atau membiarkan mereka tinggal sendirian ialah disebabkan kecacatan, nyayuk, tidak bersefahaman diantara anak atau menantu dengan ibu bapa, kesibukkan anak dengan tugas harian dan masalah kewangan. Tidak sewajarnya meletakkan orang tua dirumah kebajikan kerana ia bermakna menderhakai dan mengabaikan tanggungjawab kita sebagai seorang anak lebih-lebih lagi anak itu lelaki. Anak-anak harus bijak untuk memohon maaf kepada ibu bapa walaupun atas hal-hal yang tidak seberapa. Hal ini mereka menganggap memohon maaf pada ibu bapa adalah satu kesalahan dan tidak wajar.
Dari aspek lain pula, punca pengabaian warga tua juga disebabkan oleh tindakan ibu bapa itu sendiri. Pengabaian terhadap ibu bapa disebabkan pengalaman anak-anak itu sendiri di alam kanak-kanak, mungkin semasa kecil kedua ibu bapa mereka bersikap bengis, suka mendera Maka, anak-anak akan bertindak balas dan menyimpan perasaan untuk membalas dendam terhadap kedua ibu bapa mereka yang dianggap kejam itu. Oleh itu, salah satu cara untuk memuaskan hati mereka ialah dengan mengabaikan kebajikan dan kesihatan kedua ibu bapanya.
Masalah pengabaian warga tua disebabkan oleh banyak faktor, namun masalah ini masih boleh dibendung dan diatasi. Tamadun manusia walau apapun agamanya, ia akan meletakkan kedudukan yang paling tinggi kepada yang lebih tua terutamanya kedua ibu bapa. Tamadun itu semakin hari semakin di telan arus pembangunan. Akibatnya anak-anak yang sudah berkeluarga bukan sahaja tidak lagi berminat tinggal bersama ibu bapa malah jumlah ini semakin meningkat di kalangan anak-anak yang bekerja. Langkah untuk mengatasi masalah ini ialah sikap manusia haruslah baik dimana manusia perlu mengikis sifat memandang remeh kepada orang tua yang kurang bernasib baik dan juga anak-anak perlu membuang sifat memandang hina kepada ibu bapa yang dianggap  semakin tua semakin tidak berguna dan tidak perlukan lagi. Masyarakat haruslah mengubah sikap dengan mengamalkan sistem keluarga luasan iaitu isi rumah yang merangkumi ibu bapa, anak-anak dan datuk nenek atau anggota keluarga yang lain, secara tidak langsung dapat memupuk rasa tanggungjawab, perasaan kasih sayang, sokongan  dan ikatan kekeluargaan yang kuat oleh ahli keluarga terhadap warga tua.
Langkah kedua, anak-anak haruslah diberi didikan agama dan pendedahan dari awal lagi tentang menghormati ibu bapa. Anak-anak yang diberi didikan agama dari kecil  lagi akan dapat mengelakkan daripada ibu bapa disisih. Anak-anak yang mempunyai asas agama akan ada rasa tanggungjawab dalam menjalankan tugas menjaga ibu bapa yang berumur. Selain didikan agama yang diterapkan kepada anak-anak sejak kecil lagi pendidikan moral juga perlu diterapkan disekolah rendah dan sekolah menengah. Pendidikan agama yang dihubungkan dengan memperbanyakkan konsep inter-generasi dimana agensi atau pusat penjagaan haruslah menyediakan penjagaan kepada penjaga perlulah diwar-warkan agar mereka lebih sedar tentang sumber yang boleh didapati terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar. Selain itu, kerajaan perlu menyediakan satu system pendaftaran penjaga supaya segala bentuk bantuan dan program boleh disalurkan dengan mudah. Maknanya, kita akan tahu siapa yang menjaga siapa dalam masyarakat. Seterusnya kita juga harus mengadakaan kempen kesedaran tentang masalah yang berkaitkan warga tua seperti mengadakan hari ibu dan hari bapa. Hari ibu dan hari bapa harus disambut bagi menyanjung dan mengingati jasa dan pengorbanan mereka. Melalui hari ibu dan bapa ini ia sikit sebanyak akan menyedarkan golongan anak-anak yang tidak mempedulikan ibu bapa mereka.
Masalah pengabaian warga tua masih lagi di tahap rendah, namun perbuatan anak-anak tempatan seumpama itu tidak dapat diterima masyarakat di negara ini bahkan sangat memalukan dan dikesali. Oleh itu, setiap anak-anak hendaklah sentiasa menghormati dan menjaga kebajikan kedua ibu bapa dan warga tua dengan memberikan kasih sayang dan memastikan kesempurnaan hidup mereka terjamin dan janganlah sesekali mengabaikan dan mensia-siakan hidup mereka serta selalulah mendoakan mereka agar sentiasa mendapat perlindungan daripada Allah S.W.T.