Saturday, 5 December 2015

Nilai Persahabatan

Nilai Persahabatan itu  berlandaskan apa ?
            Aku mempunyai sahabat. Ya, boleh dikira sahabat pada pandangan aku kerana aku terlalu sayangkan dia. Aku datang dari keluarga yang susah dan keluarga aku juga tidak ramai. Oleh sebab  itu, apabila aku mempunyai rakan, aku menganggap mereka sahabat aku. Tujuan sebenar aku adalah untuk membahagiakan diri aku sendiri. Aku inginkan kehidupan yang baik seperti rakan-rakan yang lain. Punya kereta mewah walau hanya kepunyaan orang tua mereka namun sekurang kurangnya mereka punyai semua itu sedangkan aku, tak mampu ku ungkap kerana aku sedar segalanya ketentuan ilahi. 
             Aku  tidak seperti rakan-rakan yang lain bermewah- mewah makan di cafe makan pada waktu rehat. Aku hanya mampu menikmati makanan yang biasa sahaja cukup sekadar mengalas perut agar tidak kembung dek kerana masuk angin. Malah bukan itu sahaja, kasut, baju, beg sekolah dan semua peralatan ke sekolah disediakan sempurna oleh orang tua mereka dengan jenis yang mahal dari jenama yang ternama. sedangkan aku hanya mampu menelan liur melihat kemewahan mereka. Minda ku acap kali bertanya, apakah mungkin aku juga bisa menjadi seperti mereka? dan setiap kali itu ku tundukkan wajahku, mengalir lesu air mata mengenangkan nasib diri. Ada hikmah Allah berikan semua ini kepadaku. walaupun begitu aku tetap bersyukur. biar aku miskin harta tapi kaya kasih sayang orang tua ku.
             Berbalik kepada kisah rakan  yang ku anggap sahabat ku itu. Dalila sebuah nama nan indah., persis dirnya yang cantik dan perilakunya yang tidak sombong.  Aku senang berteman  dengannya, dia teramat mesra dan tidak lokek dengan senyuman. Jika diukur dari segi paras rupa ternyata aku dan dia jauh berbeza bak kata pepatah bagai gagak dengan merak namun begitu,  aku tetap  selesa berteman dengannya. Dia menerima aku sebagai sahabatnya dengan seikhlas hati. Sejak itu, aku meletakkan seratus peratus kepercayaan terhadap Dalila. Kemana sahaja aku pergi mesti ditemani oleh Dalila. Aku bersyukur kerana mempunyai sahabat yang memahami aku. Dalila juga tidak kekok semasa aku mempelawanya ke pondok buruk milik keluarga ku, walaupun hakikatnya perasaan segan itu tetap bertandang. namun tak siapa memilih kehidupan sebegini. seringkali Dalila menyatakan kekecewaannya terhadap aku setiap kali aku menyatakan ketidakselesaan ku itu. Masih segar di ingatan baris kata ini, "Allah tidak akan menguji seseorang hambanya, andai hambanya itu tidak mampu untuk menepuhi dugaanNya itu. Setiap sesuatu yang wujud di dunia ini punya pasangannya dan mengapa diwujudNya begitu kerana untuk saling melengkapi."
            Suatu hari, semasa aku sedang leka duduk di bawah pokok berhampiran dengan rumah, ibu menghampiri aku. Ibu, seorang insan yang sangat aku hormati dan aku sayangi. Kasih sayang aku terhadap ibu dan juga ayah ku tidak sedikit pun berbelah bahagi. Tambahan pula ayahku tidak seperti orang lain yang mempunyai pekerjaan yang mampu menjamin masa depan. Ayah hanya bekerja sebagai tukang kebun di sekolah dan berpendapatan kurang daripada satu ribu. Aku tahu nilai  itu tidak mencukupi, tambahan pula ekonomi negara yang kian membimbangkan, kadar sara hidup semakin meningkat dan aku  pula perlukan pembiayaan yang tinggi untuk belajar begitu juga adik-adikku. Adik-adikku semuanya masih bersekolah. Kadang kala kesusahan keluarga  membuatkan aku tidak kuat untuk lalui semua ini, tambahan pula aku anak sulong dan merupakan harapan keluarga.
            Ibu menyapa lembut dan bertanya tentang Dalila. Aku menceritakan semuanya tentang Dalila kepada ibuku. Ibu lantas tersenyum dan menggenggam tanganku. “ Kakak, serapat mana kita dengan seseorang, sebaik mana layanan mereka terhadap kita, satu perkara yang perlu kakak ingat. Keluarga kita jauh berbeza dengan mereka. Jangan suatu hari nanti kita disisihkan hanya kerana keadaan kita. Hati manusia, sifatnya mudah berbolak-balik.” Lantas aku memandang wajah ibu dan aku menerangkan kepada ibu bahawa Dalila tidak seperti yang ibu sangkakan. Aku tahu ibu juga tahu bagaimana sikap Dalila. Ibu tersenyum dan berkata itu hanyalah pesanan dan ibu tidak bermaksud untuk berburuk sangka terhadap Dalila. Aku lega. Lega kerana aku fikir ibu tidak senang aku berkawan dengan Dalila walaupun setiap kali Dalila ke rumah aku, ibu melayan  Dalila dengan baik.
            “Baiklah kelas, hari ini kita ada rakan baru iaitu Anis. Anis, sila perkenalkan diri kamu kepada rakan-rakan kamu yang lain”. “Saya Anis dari Kuala Lumpur”. Aku teruja kerana Anis mempunyai raut wajah yang manis. Dari pandangan aku, aku tidak layak untuk berkawan dengannya tetapi aku beranikan diri untuk menegurnya. Anis menunjukkan tindak balas yang baik.  Aku senang dengannya. Lantas aku berkata, tidak semua perempuan cantik itu sombong. Lihat sendiri Dalila, langsung tidak kisah untuk berkawan denganku.
            Hari berganti hari. Aku mula mendapati perubahan tingkah laku Dalila sejak kedatangan Anis. Dalila tidak lagi mengajak aku untuk makan tengah hari bersama-sama. Kini Dalila sering keluar dengan Anis tanpa pengetahuan ku. Jauh di sudut hati ku, aku amat terasa dengan perubahan sikap Dalila. Dalila yang aku anggap sahabat baik aku yang suatu ketika dulu tidak pernah meninggalkan aku walau aku dalam kesusahan kini semakin menjauh. Pada mulanya aku tidak ambil pusing tentang semua itu kerana aku menganggap mungkin sahaja perasaan ku sendiri yang mudah berkecil hati. Namun apabila aku bersama mereka  ke kantin. Layanan yang diberikan oleh Dalila terhadap aku cukup berbeza dari sebelumnya. Aku tidak menyalahkan Anis dalam hal ini kerana Anis tidak tahu apa-apa mengenai hal ini. Apa yang membuatkan aku sedih setiap hari adalah kerana Dalila. Aku terlalu  rindukan sahabat aku itu. Kini baru aku sedar, kata-kata ibu telah menjadi nyata. benar manusia mudah berubah, pasir di pantai saja bisa berubah inikan pula hati seorang manusia yang dilahirkan tidak sempurna. Sakit untuk aku menerima hakikat perjalanan cerita sebuah persahabatan ini. Namun aku harus kuat kerana aku mula sedar, manusia sentiasa datang dan pergi dalam kehidupan ini, tiada yang kekal abadi selain Allah. Syahdu mengetuk hatiku namun aku harus kuat.
            Sedang aku memakai sarung kaki sambil leka melayani perasaan yang semakin hari semakin berkecamuk diamuk kesedihan dan rentam di hati memikirkan kehilangan seseorang yang amat aku sayangi,  selepas solat di surau sekolah, aku disapa oleh Anis. Kebetulan pada hari itu Dalila tidak hadir ke sekolah kerana demam. Anis mengajak aku ke taman sebelah sekolah selepas habis waktu persekolahan. Aku bersetuju. Tepat jam 2.30 petang aku dan Anis ke taman untuk berbincangkan sesuatu. “ Maya, akhir-akhir ini Anis nampak Maya dan Dalila tidak lagi mesra seperti mula  Anis pindah ke sini. Adakah  semua ini  berpunca daripada Anis? Anis tidak mahu disebabkan Anis, persahabatan yang kamu berdua bina bertahun lamanya hancur begitu sahaja”. Anis lantas menggenggam tanganku dan ketika itu juga air mataku jatuh menyembah bumi, terlalu lama menahan hiba, akhirnya ianya tumpah juga. Aku memberitahu Anis semua yang berlaku bukan salahnya. Pada ketika itu juga,  Anis memberitahu ideanya untuk membantu menyedarkan Dalila. Anis menyuruh aku untuk melawat Dalila di rumah tanpa  Anis pergi bersama. Tujuannya supaya Dalila sedar  bahawa nilai sebuah persahabatan itu terletak kepada keikhlasan hati seseorang bukan pangkat atau darjat atau juga peredaran masa.
             Petang itu, Anis menghantar aku kerumah Dalila kerana rumah Dalila agak jauh dari rumah aku. Tambahan pula, Anis mempunyai kereta sendiri bagi memudahkan pergerakannya. Lantas hati kecilku berkata, mungkin Dalila sebenarnya lebih senang berkawan dengan orang yang setaraf dengannya. Aku bukan tidak mahu melawat Dalila, tetapi aku bimbang kehadiranku di rumahnya akan membuatkan hati Dalila tidak senang. Namun aku benar-benar ingin melihat keadaan Dalila kerana perasaan kasih terhadap sahabatku itu tidak pernah luntur walau aku diperlakukan sedemikian.   Setibanya di rumah Dalila, Anis meletakkan keretanya jauh dari rumah Dalila supaya Dalila tidak tahu mengenai kehadirannya di rumah itu. Anis menyuruh aku masuk terlebih dahulu. Ketika itu, aku  melihat Dalila terbaring lesu di atas tilam mengahadap  kaca televisyen.
            Dalila tidak banyak bercakap tetapi aku tetap bertanyakan keadaan dirinya. Dalila juga sempat bertanyakan keberadaan Anis. Dalila memberitahu Anis langsung tidak menjenguknya di rumah walhal setiap hari Anis akan ke rumahnya untuk menyiapkan kerja rumah yang dibekalkan oleh guru. Aku memandang sayu wajah Dalila, dari kata-katanya itu jelas,dia langsung tidak menghargai aku yang datang untuk menjenguknya. Sungguh aku terasa hati. Dalila bukan lagi Dalila yang aku kenal suatu waktu dahulu.Dalila yang dahulu terlalu mesra dan baik, mudah menghargai tiap apa yang orang lakukan kepadanya dan sentiasa bermanis muka ketika bersamaku walau di saat itu dia punyai masalah. Ketika itulah, Anis masuk menunjukkan diri dengan wajah yang kesal dan jelas rengusan kurang senangnya dengan sikap dalila. 
        Sebenarnya sedari tadi Anis memerhatikan tingkah Dalila terhadapku disebalik tembok pembahagi antara dua bahagian tempat Dalila berehat dan ruang yang lainnya.  Dalila terperanjat dengan kehadiran Anis.  Anis lantas menjelaskan  kepada Dalila kondisinya sebentar tadi dan dia telah lama memerhatikan Dalila. Anis juga menyatakan bahawa dia ingin melihat sejauh mana nilai persahabatan Dalila dengan aku. Namun ternyata Dalila tidak seperti yang dia sangkakan. langsung tidak menghargai kehadiran aku dan masih membuat aku berkecil hati walaupun saat sedang sakit. Anis menasihati Dalila bahawa dalam persahabatan darjat bukan lah satu ukuran. Apa yang penting adalah keikhlasan dalam persahabatan itu sendiri. Menghargai, melengkapi dan menyayangi adalah elemen penting dalam kekukuhan sebuah persahabatan. 
                   Nilai sebuah persahabatan tidak terletak pada not Ringit, tetapi pada sekeping hati yang ikhlas. Jika kita ikhlas dalam setiap perkara , kebahagiaan pasti mengekori kita. Mengalir deras air mata Dalila ketika itu. dia mulai sedar akan kesilapannya. dia mencapai tanganku dan mengenggam erat lalu meminta maaf kepadaku, aku juga tidak mampu menahan sebak di dada. aku turut menangis dan menyatakan bahawa aku sudah lama memaafkannya. Anis yang sedari tadi memerhati turut mengesat air mata sambil tersenyum bahagia. Aku mengengam tangan Anis dan juga tangan Dalila. Inilah dua kekuatan yang aku ada selain Ibu dan ayahku. Aku bersyukur kepadamu Ya Allah.
                     Sejak itu aku, Dalila dan Anis menjadi sahabat, sentiasa ada saat suka dan duka, segalanya bersama. Malah kehidupanku semakin baik kerana ayah diterima bekerja sebagai pembantu di syarikat milik ayah Anis. Gaji yang diberikan juga cukup untuk membantu kami sekeluarga. Aku Dalila dan Anis akhirnya berjaya melanjutkan pelajaran bersama ke luar negara. Doaku cuma satu, 'andai harus aku menghadapi kehilangan lagi, tuhan jangan kau gantikan lagi kehilangan ini, kerana aku tak mahu mengantikan tempat mereka dengan sesiapa.'
                                                                     TAMAT
#PenMarker
#putikbungamawar.blogspot.com






                       

           

            

No comments:

Post a Comment